Friday, December 17, 2010

Ihya' 'Asyura

Salam 'alaik, Lagak ilmiah tajuk ini. Manalah saya mampu mengupas tentang 10 Muharram dan kebaikannya; cuma amat bersyukur kerana dapat lagi meraikan 10 Muharram tahun baru hijri ini. Puasa hari ini agak tercabar kerana ada tea-party sebelum waktu kerja berakhir. Serbasalah jadinya. Allah Maha Pelindung. Tiada siapa sedar saya tidak makan.
 " Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengira kami salah jika kami lupa atau bersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami." - Al-Baqarah(2:286)

Tahun lepas, pada waktu ini saya dilanda geram dan sedih yang teramat. Wah. jahatnya hati yang masih enggan lupa titk hitam setahun lalu. Manisnya,senja Hari Asyura itu saya dihadiahkan perkenalan dengan seorang pembimbing yang amat ramah dan kenal muka baru yang datang dari jauh menadah ilmu darinya. Seperti bertemu kawan lama, saya diraikan sebaiknya. Dialah yang mengajar doa-doa asyura dan banyak lagi menfaat yang lebih indah dari janji kembara yang terlepas itu. Bukankah aturan Allah itu lebih manis dan indah?

Waktu-waktu ini juga tekak ini amat nakal meminta penganan manis.Hairan ya,waktu lain tidak pun kepingin bubur asyura tapi bila tiba 10 Muharram, tangan ini gatal selagi tidak menjamahnya. Memori manis agaknya yang dirindu, bukan saja hawa pada makanan itu. Semuga dilapangkan waktu untuk mengulang lagi cicipan manis bubur 'asyura tahun ini, seperti tahun-tahun lalu.

Sesuungguhnya Engkau bersifat dengan segala yang makruf ya Allah; kurniakanlah padaku kebaikkanMu dan cukupkanlah aku dengannya dari yang selainnya dengan rahmatMu, Wahai yang Maha Pengasih.

Monday, December 13, 2010

Tiada yang seindah kenangan

Akhirnya, saya pecahkan kemalasan dan mula mengaktifkan kembali  jari jemari mengisi blog yang kesepian sejak laaaaaama. Ada cerita yang mengetuk hati.Benarlah kata meraka...tempat jatuh lagi dikenang , inikan pula tempat bermanja.Tiap-tiap bulan saya balik kampung tapi dua hari di kampung kelmarin amat berbekas di hati.Ucap tawa masih terngiang. Senda dan sedu masih terasa.
Bertemu Sal. Kami akrab sejak entah bila. Dari zaman  main pondok-pondok. sama-sama malu-malu bertukar cerita awal remaja hinga kami terpisah bila dia melangkah ke Singapura sebagai isteri orang sebaik kami selesai SPM. Kami pernah berjanji mahu sama-sama ke universiti. Tapi Sal akur dengan perjanjian keluarga yang dimetri dalam kapal pelayaran haji. Dia tidak sedikit pun kesal atau sedih menerima Abang S sebagai suami dalam usia belasan. Ayah ibu Sal dan Abang S bertemu waktu mereka sama-sama belayar ke Makkah. Mereka berjanji untuk mengeratkan persahabatan dengan mengahwinkan anak-anak mereka. Waktu itu  Sal belum lahir lagi! Indahnya kasih sahabat hinggakan Kedah-Singapurra amat dekat dihati mereka.Saya teringat waktu kecil , selalu juga dapat hadiah baju dan kek lapis dari Singapura bila ibu sayah Abang S datang berziarah setahun sekali. Hari perkahwinan Sal adalah hari terakhir kami habiskan sama-sama. Selepas itu, cuma sekali kami bertemu, beberapa hari sebelum saya sayap saya tumbuh dan terbang,Sal pulang dengan baby Rosa yang putih gebu! Kami berjanji akan berdoa untuk segala yang terbaik untuk kami.
Kelmarin, waktu hadir ke jemputan perkahwinan; saya nampak kelibat Noor, adik Sal dan kami bersapaan. Sepantas itu juga Noor menarik tangan wanita anggun berjubah merah dan detik itu kami terpaku. MasyaAllah! Alhamdulillah. Dah lebih 20 tahun tak jumpa, kami menyambung rentak bicara dan ketawa. InsyaAllah Sal , dengan izinnya kita tautkan kembali kemanisan masa silam dalam kisah baru yang bakal kita buka.

Ada juga kisah pilu. Merembes airmata mengenangkan kawan sepermainan yang dulunya tangkas dan laju berlari, hari itu dipotong kakinya. Pengkebumian kakinya diurus hormat dan disemadi di atas pusara ayahanda. Semuga dia tabah. Semuga keluarganya kuat menghadapi ujian ini. Bak kata Sal" Allah ambil kakinya yang rosak supaya dia lebih sihat untuk hidup lebih lama.. InsyaAllah". Sabar ya Ji, Cik Nah dan seluruh keluarga.  
Istana lama.. sedih. Halamannya jadi tempat buangan sampah. Tak sampai hati melihat keadaan istana Tunku Kudin waktu saya lewat ke sana pada padi Ahad lalu. Nampak tak tong sampah majlis perbandaran tu...
Istana ini dulunya kawasan yang menggerunkan. Bukan saja ceritanya, tapi persekitarannya, Saya kalau lalu di sini mesti pejam mata meruntun tangan mak. Takut dan seram kini jadi sedih dan sayu mengenang sejarah yang dilupakan.

Kenduri kendara memang meriah...ahh.. rugi besar lah tak sempat merasa laksa dan pulut kacau itu.huhuhu.. Kini hati kembali digamit rindu...